Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Payas-Payas, Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Payas-Payas, Kota Belud. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan

Kota Belud: Seorang wanita warga emas melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Payas-Payas, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.20 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan dua rumah.

"Kedua-dua rumah musnah sepenuhnya. Terdapat seorang wanita berusia 60 tahun dilaporkan melecur dan mangsa diberi rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal jam 6.22 petang dan api padam sepenuhnya jam 7.33 malam.

"Punca kebakaran dalam kejadian itu masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 8:46 PM