ANGGOTA BBP Lawas melakukan pencarian di permukaan sungai di lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum tenggelam, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA BBP Lawas melakukan pencarian di permukaan sungai di lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum tenggelam, malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Erika George


Lawas: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas apabila dibawa arus deras ketika mandi bersama ibu dan adik beradiknya di sungai di belakang rumah mereka di Kampung Siang-Siang Laut, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki Husin berkata, dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Mohd Adrian Muzaffar Mohd Mazlan, 6, sedang mandi bersama keluarganya sebelum hilang dari pandangan mereka.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan daripada keluarga mangsa pada 5.20 petang, sepasukan enam anggota bomba bergerak ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta usaha pencarian awal.

"Sebaik tiba pada 5.50 petang, pasukan bomba dengan bantuan penduduk kampung memulakan usaha pencarian sehingga ke 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas, namun gagal menemukan mangsa.

"Atas faktor keselamatan dan cuaca semakin gelap, pasukan bomba memutuskan untuk menyambung usaha mencari dan menyelamat (SAR) pada 7.30 pagi hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 12:23 AM