ANTARA kontena yang ditahan. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA kontena yang ditahan. FOTO ihsan MAQIS
Norzamira Che

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 63,000 kilogram (kg) makanan ikan bernilai RM240,000 di pintu masuk MAQIS di Pelabuhan Barat, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarah MAQIS Selangor, Tarmisal Alimin berkata, makanan ikan berkenaan dirampas selepas pemeriksaan dilakukan terhadap dua kontena dari Oman.

"Ketika pemeriksaan ke atas dua kontena yang ditahan, terdapat dua jenis makanan ikan yang dibawa masuk tanpa permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS.

"Keseluruhan hasil rampasan dianggarkan seberat 63,000 kilogram dan bernilai RM240,000," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kontena berkenaan sudah disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"MAQIS akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan untuk kesemua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

"Ia untuk menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 11:22 AM