Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Belum sempat berlabuh, sebuah kapal yang membawa 66 kontena susu getah beku dipenuhi serangga perosak ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor berhampiran kawasan Pelabuhan Barat, Isnin minggu lalu.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, kapal itu ditahan dan diperiksa oleh MAQIS sebaik menerima maklumat dari pihak kapal bahawa terdapat banyak serangga perosak pada kontena di atas kapal itu.

"Hasil pemeriksaan kira-kira 10 pagi itu, MAQIS mendapati susu getah beku yang dipenuhi serangga perosak itu diimport oleh tiga syarikat dipercayai dari Ghana.

"Pemeriksaan juga mendapati, susu getah beku seberat 577,708 kilogram itu dianggarkan bernilai kira-kira RM4,829,116.44," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarmisal berkata, pihaknya mendapati serangga perosak yang memenuhi kontena berkenaan dikenal pasti sebagai Black Soldier Fly.

"Pihak kapal diarahkan melakukan fumigasi (rawatan untuk mematikan serangga) terlebih dahulu sebelum kapal itu berlabuh di kawasan pelabuhan.

"Tiga syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, pihak MAQIS difahamkan, susu getah beku yang dibawa masuk itu dipercayai untuk membuat tayar.

Katanya, menjadi suatu kesalahan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikro-organisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit.

"MAQIS sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara agar bebas daripada ancaman perosak.

"Kawalan ini penting bagi mengelak sebarang penyakit atau pencemaran yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara, keselamatan makanan dan kesihatan manusia," katanya.

SUSU getah beku yang dipenuhi serangga. FOTO Ihsan MAQIS
SUSU getah beku yang dipenuhi serangga. FOTO Ihsan MAQIS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 8:27 AM