Kontena mengandungi susu getah yang ditahan MAQIS di Pelabuhan Klang Darat, Klang. (Gambar kecil) serangga perosak yang dikesan. Foto Ihsan MAQIS
Kontena mengandungi susu getah yang ditahan MAQIS di Pelabuhan Klang Darat, Klang. (Gambar kecil) serangga perosak yang dikesan. Foto Ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan 10 kontena mengandungi susu getah beku bernilai RM848,347.83 selepas dikesan mempunyai serangga perosak pada 15 Julai lalu.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, susu getah beku seberat 216,990 kilogram (kg) dipercayai dibawa dari Ghana ditahan ketika pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa jabatan itu di Pelabuhan Klang Barat.

"Pemeriksaan terhadap 216,990 kilogram (kg) susu getah beku itu didapati terdapat serangga perosak.

"Rampasan itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011," katanya dalam satu kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, adalah suatu kesalahan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit," katanya.

"MAQIS sentiasa teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara bebas daripada ancaman perosak.

"Kawalan ini penting bagi mengelak sebarang penyakit atau pencemaran yang boleh menjejaskan sektor pertanian negara, keselamatan makanan dan kesihatan manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 12:22 PM