Keadaan kereta yang dinaiki mangsa dan mayat wanita (gambar kecil) selepas dikeluar dari kenderaannya dalam kemalangan di Bulatan Kepong, Kuala Lumpur pada pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa dan mayat wanita (gambar kecil) selepas dikeluar dari kenderaannya dalam kemalangan di Bulatan Kepong, Kuala Lumpur pada pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Muhaamad Hafis Nawawi

WANITA maut manakala suami dan anaknya serta empat lagi individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Bulatan Kepong, Kuala Lumpur pada awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan dari bilik gerakan pada 1.20 pagi dengan memaklumkan terdapat satu kemalangan maut.

Menurutnya, seorang penumpang, Haslina Ibrahim, 49, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Perodua Axia dinaiki wanita itu bersama suami, 49, dan anaknya, 17, dari arah pusat bandar raya manakala kereta Toyota Vellfire dinaiki empat lelaki berusia 20 hingga 24 tahun datang dari arah Jalan Kepong.

"Toyota Vellfire berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sisi kiri kereta berkenaan.

"Ia menyebabkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas dan memasuki kawasan di dalam Bulatan Kepong itu.

"Penumpang wanita terbabit tersepit dalam kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala mangsa meninggal dunia dibawa ke Unit Forensik HKL untuk proses pedah siasat.

Katanya, tiada bau alkohol dikesan pada pemandu Toyota Vellfire terbabit namun sampel darah dan diarahkan menjalani ujian saringan awal air kencing untuk dianalisis.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur Mohd Zuhair Zulkiffli berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dan bantuan daripada BBP Gombak serta BBP Sentul dengan kekuatan 19 orang dikejarkan ke lokasi.

"Empat orang yang berada dalam Toyota Vellfire itu berjaya diselamatkan manakala mangsa wanita yang tersepit dalam Perodua Axia kemudian turut dibawa keluar sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi berkenaan tamat pada 2.35 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 10:52 AM