ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu Rawang-Bukit Beruntung, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa maut dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu Rawang-Bukit Beruntung, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Tiga maut, manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuala Kubu Bharu Rawang-Bukit Beruntung, berhampiran Serendah Golf Resort, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.06 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan BBP Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan kereta Perodua Axia.

"Terdapat empat mangsa terbabit. Lelaki yang menaiki Toyota Avanza maut, manakala seorang wanita parah.

"Sementara seorang lelaki dan wanita yang menaiki Perodua Axia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang parah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, anggota bertugas masih dalam proses untuk mengeluarkan tiga lagi mangsa yang disahkan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 12:49 PM