Kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kundasang. FOTO Ihsan Bomba
Kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kundasang. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Ranau: Sepuluh cedera termasuk dua parah manakala enam lagi selamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kouluan, Kundasang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa yang terbabit masing-masing dari Toyota Vellfire (4 mangsa), Toyota Hilux (4 mangsa), Perodua Alza (4 mangsa) dan Perodua Axia (4 mangsa).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.39 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bergegas ke lokasi.

Katanya, terdapat 16 mangsa iaitu dua parah patah tangan, lapan cedera ringan dan enam selamat.

"Mereka yang cedera iaitu mangsa dari kenderaan Toyota Hilux, Vellfire dan Perodua Axia.

"Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di lokasi dan dihantar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak ambulans," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 8:42 PM