KENDERAAN yang ditimpa pokok tumbang di Taman Pagar Ruyung hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
KENDERAAN yang ditimpa pokok tumbang di Taman Pagar Ruyung hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua cedera manakala tiga termasuk dua kanak-kanak selamat selepas kenderaan dinaiki ditimpa pokok tumbang dalam kejadian berasingan di Taman Pagar Ruyung dan berhampiran Masjid Negara, Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Sohirol Rizal Madon berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan 2/115A, Taman Pagar Ruyung pada 5.05 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa.

"Sebaik tiba pada 5.15 petang didapati dua kereta Perodua Aruz dan Toyota Vios dihempap pokok tumbang.

"Terdapat seorang pemandu bersama dua kanak-kanak dalam Perodua Aruz dan seorang pemandu dalam Toyota Vios," katanya dalam kenyataan hari ini.

ANGGOTA bomba membantu pemandu yang tersepit selepas kenderaan ditimpa pokok tumbang. FOTO Ihsan  Bomba.
ANGGOTA bomba membantu pemandu yang tersepit selepas kenderaan ditimpa pokok tumbang. FOTO Ihsan Bomba.

Beliau berkata, kesemua mangsa terlebih dahulu diselamatkan orang awam.

"Seorang mangsa lelaki dewasa mengalami cedera ringan serta sesak nafas dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Sementara itu, kejadian pokok tumbang berhampiran Masjid Negara diterima pada 5 petang dan satu jentera bersama tujuh anggota dari BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur Omar Chekku berkata, anggota berjaya mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit dalam Proton Exora yang remuk dalam kejadian itu.

"Mangsa cedera ringan dan dihantar dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan," katanya.

Anggota bomba yang berada di kedua-dua lokasi kejadian kemudian memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang dibantu petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membuka laluan yang terhalang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 8:50 PM