ANGGOTA penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melakukan operasi ke atas penjaja warga tempatan yang mengambil warga asing sebagai pembantu di tiga lokasi sekitar daerah ini. FOTO ihsan FB MDKS
ANGGOTA penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melakukan operasi ke atas penjaja warga tempatan yang mengambil warga asing sebagai pembantu di tiga lokasi sekitar daerah ini. FOTO ihsan FB MDKS
Amirul Aiman Hamsuddin


MASIH ada penjaja warga tempatan yang berani menggaji warga asing sebagai pembantu walaupun tindakan itu diharamkan sama sekali.

Susulan itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bertindak menjalankan operasi di tiga lokasi sekitar daerah ini sejak 10 Ogos lalu.

Yang Dipertua MDKS Rahilah Rahmat berkata, dalam operasi pertama di hadapan sebuah pasar raya, seorang penjaja buah dikenakan tindakan sitaan selain permit penjaja ditarik semula.

"Ini susulan penjaja terbabit menjalankan perniagaan di lokasi tidak dibenarkan selain mengambil seorang warga Indonesia sebagai pembantu.

"Pelbagai jenis buah dan peralatan penjaja disita mengikut Undang-undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi MDKS tadi.

Rahilah berkata, dalam operasi kedua, seorang penjaja buah di Jalan Kereta Api Lama di sini, turut dikenakan tindakan sama kerana mengambil dua warga Indonesia sebagai pembantu.

"Buah dijual turut disita mengikut Undang-undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007," katanya.

Sementara itu, di hadapan sebuah restoran makanan segera pula, MDKS mengarahkan seorang penjaja buah menutup operasi perniagaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit yang sah.

Rahilah berkata, penjaja terbabit diarahkan memohon permit dan berpindah ke lokasi yang ditetapkan untuk penjaja buah bermusim.

"Dasar aktiviti penjaja dan peniaga kecil di Selangor menyatakan bahawa mengambil pembantu atau pekerja warga asing adalah tidak dibenarkan di bawah lesen penjaja.

"Permohonan untuk mengambil pembantu atau pekerja hendaklah daripada warganegara sahaja dan tindakan sitaan boleh dikenakan dibawah Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007," katanya.

Beliau berkata, masyarakat digalakkan menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 7:49 PM