TANGKAP layar video yang yang memaparkan kawasan penjaja berlesen di Tanjong Karang yang didakwa sebagai bazar Ramadan hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. FOTO ihsan MDKS
TANGKAP layar video yang yang memaparkan kawasan penjaja berlesen di Tanjong Karang yang didakwa sebagai bazar Ramadan hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. FOTO ihsan MDKS
Amirul Aiman Hamsuddin


MAJLIS Daerah Kuala Selangor (MDKS) menafikan penyebaran berita palsu berhubung memberi kebenaran penganjuran bazar Ramadan di Tanjong Karang.

Yang Dipertua MDKS Rahilah Rahmat berkata, pihaknya hanya memberi kebenaran berniaga kepada penjaja berlesen (makanan dan minuman) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 13 Mei lalu.

"Setiap penjaja yang diberikan kebenaran tertakluk kepada syarat seperti penggiliran hari berniaga, mengamalkan penjarakan sosial dan penetapan waktu berniaga bermula 3 petang hingga 10 malam sepanjang Ramadan.

"Sehingga semalam, seramai 57 penjaja dibenar beroperasi secara bergilir dan hanya 20 peratus jumlah petak dibenarkan beroperasi untuk satu-satu masa di setiap kawasan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan video di Facebook yang memaparkan kawasan penjaja berlesen di mukim itu yang didakwa sebagai bazar Ramadan hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, semakan Harian Metro hari ini mendapati video terbabit sudah dipadam.

Rahilah berkata, pemantauan dan kawalan berkala turut dilakukan anggota penguat kuasa MDKS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, penjaja yang ingkar bakal berdepan tindakan pembatalan lesen serta-merta termasuk sitaan.

"Saya ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan mematuhi penjarakan sosial setiap masa.

"Untuk mendapatkan maklumat operasi perniagaan yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKPB, layari laman Facebook rasmi MDKS atau hubungi Bilik Gerakan MDKS di talian 03-32897385," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 9:48 AM