ANGGOTA penguat kuasa MDKS bersama pelbagai agensi penguatkuasaan menjalankan operasi bersepadu terhadap warga asing di Bestari Jaya dan Ijok pada 18 Ogos lalu. FOTO IHSAN MDKS
ANGGOTA penguat kuasa MDKS bersama pelbagai agensi penguatkuasaan menjalankan operasi bersepadu terhadap warga asing di Bestari Jaya dan Ijok pada 18 Ogos lalu. FOTO IHSAN MDKS
Amirul Aiman Hamsuddin


LIMA premis diusahakan warga asing di sekitar Bestari Jaya dan Ijok ditutup Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), 18 Ogos lalu.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, 36 anggota Jabatan Penguat Kuasa MDKS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terbabit dalam operasi bersepadu di Jalan Suria 2, Bestari Jaya dan Jalan Makmur, Ijok.

"Operasi dijalankan ke atas premis disyaki diusahakan warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga tempatan.

"Hasil operasi, lima premis disita dan ditutup manakala lesen perniagaan ditarik semula oleh Jabatan Pelesenan MDKS untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di Kuala Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Rahilah berkata, pihaknya turut menyita dan menutup sebuah pusat cuci kereta yang beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan warga asing.

Beliau berkata, sebanyak dua pemampat udara, sebuah vakum dan sebuah penyembur buih disita mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.

"Pada masa sama, kami menahan seorang peniaga berusia 50-an bersama 74,096 batang rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM 47,501.16.

"Hasil pemeriksaan JKDM bersama anggota penguat kuasa MDKS mendapati lelaki itu menjadikan peti sejuk beku di ruangan stor premisnya sebagai tempat penyimpanan rokok seludup.

"Suspek dan barang rampasan ditahan mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967," katanya.

Selain itu, menurut Rahilah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut memeriksa seramai 10 warga asing membabitkan tiga warga Indonesia, (5) warga Bangladesh dan (2) warga India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:10 PM