PINTU masuk ke Bukit Malawati. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
PINTU masuk ke Bukit Malawati. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Orang ramai yang mengunjungi Bukit Malawati, di sini diingatkan supaya membawa pulang sampah mereka bagi memastikan kebersihan pusat pelancongan itu sentiasa terjaga.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Rahilah Rahmat berkata, anggota penguatkuasa MPKS sering membuat rondaan secara berkala di kawasan itu.

Katanya, MPKS hanya memberi teguran secara lisan kepada pengunjung sekiranya mereka terlupa membawa balik sampah.

"Ini melibatkan 'social awareness' (kesedaran sosial) dalam kalangan masyarakat. Disebabkan itu, kita minta mereka supaya bawa pulang sampah masing-masing.

"Di sini (Bukit Malawati), semua sedia maklum haiwan seperti lotong mendiami tempat pelancongan ini.

"Walaupun kita buang sampah ke dalam tong sampah, spesis ini 'kreatif' dengan membuka semula tong dan menyepahkannya," katanya, hari ini.

Rahilah berkata demikian pada sidang media selepas program tanam pokok anjuran bersama MPKS, Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysia Nature Society (MNS) di Taman Alam Kuala Selangor, dekat sini.

Sehubungan itu katanya, kontraktor pembersihan yang dilantik akan menguruskan kerja pembersihan termasuk mengutip sampah di Bukit Malawati.

Dalam pada itu, Rahilah berkata, perkhidmatan tram ke Bukit Malawati akan dibuka semula kepada pelancong mulai awal Disember ini.

Menurutnya, perkhidmatan itu akan dimaklumkan menerusi Facebook MPKS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:32 AM