GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 16,877 pengundi akan mengundi awal di 55 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, yang akan dibuka bermula 8 pagi esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan hari ini, berkata jumlah itu merangkumi 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh negeri.

Katanya, berikutan pandemik Covid-19 ketika ini, proses pengundian awal itu turut menekankan pematuhan kepada garis panduan pencegahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

"Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR. Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR," katanya.

Beliau berkata, sejurus selesai proses berkenaan, semua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis yang terbabit.

"Kertas undi hanya akan dikira pada 26 September ini bermula 4 petang.

"Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing," katanya.

SPR sebelum ini menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon PRN Sabah Ke-16, diikuti pengundian awal pada 22 September dan pengundian biasa pada 26 September.


Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:16 AM