GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


LELAKI yang mendakwa dirinya terbabit dalam kegiatan penjualan organ manusia secara haram dalam media British, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berusia 48 tahun itu tampil pada 1.45 tengah hari selepas menyedari dirinya menjadi buruan pihak berkuasa sejak beberapa hari lalu.

"Dia akan direman pagi esok dan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lelaki terbabit menjadi buruan selepas artikel dalam The Sun bertarikh 8 Ogos yang mendedahkan aktivitinya kepada seorang wartawan yang menyamar sebagai pembeli organ.

Dia dikatakan memberitahu boleh mengatur urusan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos 85,000 pound (RM465,000), dengan perbualan mereka dirakam menerusi kamera tersembunyi.

Suspek juga dikatakan mendalangi 45 penjualan buah pinggang dan menggunakan Facebook untuk memikat mangsa dari seluruh dunia terutama individu miskin untuk menjual organ kepada pesakit terdesak.

Menurut laporan itu, suspek mendakwa hanya berperanan sebagai orang tengah yang mengatur jual beli itu sejak 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:12 PM