AIDI tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri dan sedang bersembunyi. FOTO Arkib NSTP & The Sun
AIDI tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri dan sedang bersembunyi. FOTO Arkib NSTP & The Sun
Melvin Joni

POLIS Sarawak tidak menolak kemungkinan lelaki dipercayai broker yang menawarkan penjualan buah pinggang secara haram dengan harga lebih RM400,000 untuk warga Britain sudah melarikan diri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan suspek yang juga warga tempatan itu.

"Kami masih mengesan suspek," katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri dan sedang bersembunyi.

Justeru, Aidi berkata pihaknya akan mengesan suspek dalam semua segi termasuk memeriksa rekod penumpang di semua lapangan terbang di negeri ini.

Baru-baru ini wartawan The Sun berpangkalan di United Kingdom membuat pendedahan dan penyamaran dengan berjumpa suspek berusia 46 tahun di sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Melalui penyamaran itu mendedahkan bapa empat anak itu dikenali Shaifullizan Abdul Mutalib menawarkan penjualan buah pinggang dengan pakej pelancongan transplan berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram khas untuk warga Britain.

Berdasarkan laporan itu, Shaifullizan dikatakan dalang penjualan 45 buah pinggang haram hanya menggunakan Facebook untuk memikat mangsa yang miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang terdesak.

Bayarannya termasuk rasuah secara 'bawah meja' supaya pembedahan transplan boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.

Imej Shaifullizan berjaya dirakam menggunakan kamera tersembunyi dan jelas dalam video dirakam lelaki itu berkata 'Di Manila, wang tunai adalah raja'.

Berita berkaitan

Polis cari broker jual buah pinggang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 8:06 PM