GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Safeek Affendy Razali


SEORANG pelukis pelan ditahan kerana disyaki merogol dan memaksa anak tirinya melakukan hubungan seks luar tabii di sebuah rumah di Batu Caves, di Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 45 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.

"Mangsa berusia 21 tahun itu adalah anak bongsu dari empat beradik tinggal bersama ibu dan suspek di Gombak manakala tiga lagi adik-beradiknya tinggal bersama nenek mereka di tempat lain.

"Mangsa dilaporkan mula dicabul oleh suspek sejak Mei tahun 2015," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Arifai berkata, mangsa mendakwa kejadian pertama berlaku pada Mei tahun 2015 sebelum berterusan hingga tahun akhir tahun lalu.

"Kejadian itu berlarutan sehingga Disember 2019, di mana suspek merogol mangsa.

"Kejadian kali terakhir ialah pada Jun lalu. Mangsa juga diugut oleh suspek supaya tidak memberitahu kejadian berkenaan kepada sesiapa," katanya.

Katanya, pemeriksaan doktor di Hospital Selayang mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 9:19 PM