GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Tindakan lelaki mengugut bapanya dengan parang kerana perselisihan faham berkaitan wang dan dadah di kediaman mereka di Taman Bukit Rawang Jaya, Rawang, dekat sini, mengundang padah apabila ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 60 tahun pulang ke rumahnya, 10 malam semalam sebelum suspek berusia 20 tahun memarahinya.

Menurutnya, anaknya memarahi mangsa kerana tidak berpuas hati lelaki itu memberitahu rakannya anaknya menghisap dadah dan sering memaksa dia memberi wang.

"Suspek kemudian mengambil parang dan mengugut akan memotong mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa berasa takut tampil membuat laporan diBalai Polis Rawang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas maklumat, 2.15 pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahannya di rumah dan merampas parang berhulu hitam digunakan mengugut mangsa.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Suspek ditahan reman empat hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:40 PM