TINJAUAN sesi persekolahan di Kuching, baru-baru ini. FOTO Nadim Bokhari
TINJAUAN sesi persekolahan di Kuching, baru-baru ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


PEMBUKAAN semula sesi persekolahan bagi murid Tahun 1 hingga Tahun 6, Kelas Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 dan Tingkatan 6 Rendah di tiga Bahagian di Sarawak ditangguhkan hingga 17 Ogos ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan sekolah di tiga Bahagian terbabit iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan dibuka pada 3 Ogos.

Bagaimanapun, situasi pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan di tiga Bahagian itu menyebabkan tempoh penutupan sekolah dilanjutkan.

Jurucakap Sekretariat JPBN berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya menerima nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Majlis Keselamatan Negara.

"Keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah itu juga dicapai selepas mendapat persetujuan bersama antara semua

pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

"Berikutan itu, JPBN membuat keputusan iaitu pembukaan semula sesipersekolahan bagi 213 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Bahagian Kuching, Padawan dan Samarahan yang sebelum ini telah diumumkan bermula pada 03 Ogos 2020 ditangguhkan ke 17 Ogos2020," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pecahan jumlah sekolah yang dilanjutkan pembukaan mengikut Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) ialah PPD Kuching sebanyak 87, PPD Padawan (99) dan PPD Samarahan (27).

Bagaimanapun katanya, bagi kelas Prasekolah, Tingkatan 5dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

Bagi pelajar Sarawak yang akan memulakan pendaftaran di Matrikulasi seluruh negara yang bermula pada 3 Ogos ini, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak Volunteers, untuk memperkenalkan inisiatif baharu bagi meringankan beban ibu bapa berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat keluar masuk Sarawak yang ditetapkan kerajaan.

"Berikutan SOP yang ketat itu, ianya akan memberi kesan kepada ibu bapa untuk pergi ke Semenanjung dan Labuan untuk mendaftar

anak-anak mereka.

"Justeru, kerajaan Sarawak mengambil inisiatif untuk membantu pelajar matrikulasi yang

baru mendaftar dan tidak dapat ditemani ibu bapa mereka.

"Sarawak Volunteer akan membantu bermula dari pelajar itu mendarat di lapangan terbang

ke destinasi Pusat Matrikulasi mereka," katanya.

Seramai 1,145 pelajar Sarawak ditawarkan di 16 pusat Matrikusai seluruh negara.

Sementara itu, semua pergerakan dari Zon 1 ke Zon 2 dan juga sebaliknya perlu mendapat permit kebenaran dari pihak polis terlebih dahulu sebelum membeli tiket perjalanan untuk menaiki penerbangan domestik dalam Sarawak, pergerakan menggunakan bas antara wilayah dan pergerakan menggunakan bot ekspres.

Zon 1 adalah kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Merah iaitu Kuching dan Zon Kuning iaitu Samarahan dan Serian.

Zon 2 pula adalah kawasan bebas COVID-19 atau Zon Hijau iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

From: Mohammad Roji

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 6:15 PM