DOUGLAS Uggah Embas pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
DOUGLAS Uggah Embas pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

RAKYAT Sarawak khususnya dari Zon 1 meliputi Kuching, Samarahan dan Serian bebas bergerak ke daerah lain tanpa perlu mendapatkan permit polis mulai Sabtu ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pihak industri pelancongan.

Beliau berkata, ia berikutan penurunan kes positif dan tiada jangkitan tempatan direkodkan di Sarawak dalam tempoh beberapa hari lalu.

"JPBN meneliti isu semasa kes positif di Sarawak selain berbincang dan mendapatkan pandangan dari sudut kesihatan serta ekonomi daripada KKM dan Industri Pelancongan.

"Selepas mengambil kira daripada perkara itu, JPBN dengan ini membenarkan pergerakan antara Zon di Sarawak tanpa perlumemohon permit daripada pihak polis berkuatkuasa 15 Ogos 2020," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Petra Jaya, hari ini.

Sekatan perjalanan antara Zon 1 dan Zon 2 di Sarawak iaitu dari Kuching, Samarahan dan Serian ke sembilan lagi bahagian iaitu Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang dikuatkuasakan mulai 1 Ogos lalu hingga 14 Ogos ini.

Langkah itu diambil susulan peningkatan semula kes positif di Kuching ketika gelombang kedua pandemik Covid-19 melanda pertengahan bulan lalu.

Sepanjang penguatkuasaan arahan itu, kenderaan yang tidak mempunyai surat kebenaran polis untuk merentasi antara zon akan diarah berpatah balik.

Sementara itu, tiada kes baharu dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah

keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini kekal sebanyak 681 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:34 PM