Rengaiya memohon bantuan kewangan dan kerusi roda bermotor bagi memudahkan dia bergerak dan bekerja.
Rengaiya memohon bantuan kewangan dan kerusi roda bermotor bagi memudahkan dia bergerak dan bekerja.
Murnaena Muhammad Nasir


"SAYA harap ada insan berhati mulia dapat membantu saya menjalani kehidupan lebih baik," kata Rengaiya Ramamuthy, 45, yang menghidap lima penyakit kronik hingga menyebabkan kedua kakinya lumpuh.

Rengaiya dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia menghidap penyakit buah pinggang, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan tulang belakang rapuh.

"Saya harap dengan usaha saya ini, ada pihak yang sudi menghadiahkan kerusi roda bermotor bagi memudahkan saya bergerak dan berniaga. Itu sudah lebih dari cukup buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia yang berasal dari Ipoh, Perak terpaksa menyewa di Seremban bagi memudahkannya menjalani pemeriksaan jantung sebulan sekali di klinik dan hospital kerajaan.

"Saya tinggal menyewa sementara di Seremban dahulu sebelum menjalani pembedahan jantung kedua di Hospital Serdang pada November ini.

"Sementara saya tinggal di sini, saya menjual tisu di beberapa kawasan berdekatan rumah demi menyara hidup, membeli ubat-ubatan, membayar sewa rumah dan bil," katanya.

Rengaiya berkata, bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak cukup memandangkan dia harus menyara anaknya yang masih bersekolah di Tahun 5.

"Ada beberapa jenis ubat yang saya perlukan tidak dibekalkan di hospital kerajaan dan terpaksa membelinya di farmasi dengan harga RM270 untuk kegunaan sebulan.

"Saya dan isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) menyara kehidupan dengan menjual bunga di Perak, namun, disebabkan masalah jantung ini saya terpaksa menghentikan seketika perniagaan itu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rengaiya di nombor 011-33350467 / 011-59777994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 4:15 PM