Keadaan rumah Nor Liza yang rosak teruk di bahagian dalam. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan rumah Nor Liza yang rosak teruk di bahagian dalam. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Hasrat seorang ibu tunggal tinggal di rumah sendiri bersama tiga anaknya tidak kesampaian apabila kediaman itu rosak teruk selepas setahun diduduki.

Ibu tunggal itu, Nor Liza Razali, 50, berkata rumahnya itu dibina Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di atas tanah pusaka, namun mereka terpaksa menyewa di rumah lain kerana kediaman itu rosak teruk di beberapa bahagian.

"Pada mulanya saya cuba bertahan, tetapi keadaan menjadi bertambah buruk kerana hampir semua bahagian rosak terutama bumbung.

"Jika cuaca buruk (hujan lebat) rumah ini bergoyang seolah-olah ia dibuat daripada kotak dan ditutup dengan simen kapur, namun itulah hakikatnya yang kami tanggung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mayor Pantai, di sini, semalam.

Wanita itu mengalami masalah lutut selepas terbabit kemalangan jalan raya, lima tahun lalu dan memiliki tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun.

Menurutnya, dia turut mengalami masalah jantung dan masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Saya agak lega kerana mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 dan Baitumal sebanyak RM250 sebulan.

"Saya sudah membuat aduan kepada pihak berwajib mengenai kerosakan rumah itu, tetapi berikutan bimbangkan keselamatan, saya menyewa rumah lain dengan kadar RM350 sebulan," katanya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Nor Liza berkata, dia buntu kerana tidak boleh tinggal di rumah sendiri walaupun membayar pinjaman SPNB sebanyak RM150 sebulan sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, dia tidak tahu mahu mengadu nasib kepada siapa, tetapi sangat kecewa kerana rumah itu dibina dengan bahan murah iaitu campuran polisterin dan simen manakala dindingnya diplaster dengan kapur simen menyebabkan apabila basah, ia akan jadi cair dan apabila kering ia akan retak dan pecah.

"Saya menduduki rumah itu pada 2014 dan selepas itu ia mulai retak dan tidak selamat untuk kami diami.

"Kini sudah tujuh tahun masalah ini terpaksa saya tanggung walaupun pendapatan tidak menentu dan menyewa di rumah lain pula," katanya selepas menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:44 PM