NORIZAN memberi penjagaan kepada Muhammad Raeez Ramadhan. FOTO Ihsan keluarga
NORIZAN memberi penjagaan kepada Muhammad Raeez Ramadhan. FOTO Ihsan keluarga
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Lubang pada jantungnya kini sebesar syiling 50 sen dan perlukan RM65,000 untuk menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan segera," kata Norizan Marsandi, 46, ibu kepada Muhammad Raeez Ramadhan Mohd Zulkiflee, 13, pesakit jantung berlubang.

Menurut ibu enam anak itu, dia semakin bimbang dengan keadaan Muhammad Raeez kerana kerap mengadu penat dan sakit kepala serta muntah selain kuku dan bibirnya menjadi kebiruan.

Katanya, anak kelimanya itu dikesan menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia enam bulan sebelum keadaan bertambah teruk apabila meningkat dewasa dan kini perlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Bagi mengelakkan sebarang risiko, Muhammad Raeez memerlukan dana RM65,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan secepat mungkin.

"Doktor memberitahu lubang di jantungnya semakin membesar dan jika pembedahan tidak dilakukan segera dan ia boleh membahayakan nyawa.

"Doktor juga memasang alat pada leher Muhammad Raeez untuk bantuan pernafasan selain mencabut 12 batang giginya bagi tujuan pembedahan," katanya.

Norizan berkata, Muhammad Raeez kini menjalani rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Kos pembedahan yang dianggarkan doktor sebelum ini hanya RM15,000 tetapi kini sudah mencecah RM65,000 dan keluarga kami tidak mampu membiayainya.

"Saya yang sebelum ini memperoleh pendapatan dengan menghantar mi dan kuih ke gerai berdekatan rumah kini menyewa kedai sejak sebulan lalu menjual sarapan pagi dan makanan tengah hari.

Pendapatan saya tidak mencukupi kerana perlu menanggung lima anak," katanya yang tinggal di Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat.

Norizan berkata, dia berharap ada pihak yang sudi membantu selain mengharapkan doa orang ramai supaya Muhammad Raeez sihat serta memiliki masa depan cerah.

"Muhammad Raeez minat belajar dan kini ke kelas bahagian pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di sini," katanya.

Keadaan Muhammad Raeez menerima perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip yang melawat remaja itu bagi mengenal pasti keperluannya.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Norizan menerusi nombor telefon 011-3554 2726.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 12:40 PM