Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya terpaksa bawa keluarga keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayarnya selepas hilang pendapatan," kata Muhammad Abdullah.

Muhammad, 57, bersama isteri, Siti Khadijah Abdullah, 51, dan anak mereka, Siti Fatimah, 16, dan Ibrahim, 12 (OKU masalah pembelajaran) kini terpaksa menumpang teduh di Balai Raya Taman Permai, di sini, sejak semalam.

Beliau yang berstatus orang kurang upaya (OKU) berkata, selama tiga hari selepas keluar dari rumah sewa pada 1 Oktober lalu, dia dan ahli keluarga seperti pelarian.

Dia yang patah kaki kanan akibat kemalangan ketika berusia 18 tahun terpaksa tidur di bawah jambatan berhampiran taman berkenaan selepas keluar dari rumah sewa itu.

"Saya menyewa rumah di Taman Permai 1 Seremban sejak April lalu dengan kadar RM850 sebulan, bagaimanapun disebabkan tiada pendapatan, kami terpaksa keluar.

"Sebelum ini, kami menyewa di Port Dickson selama lebih setahun, namun bermula awal hujung April lalu, berpindah ke sini untuk mencari pekerjaan," katanya ketika ditemui di Balai Raya Taman Permai, hari ini.

MUHAMMAD bersama isteri dan dua anaknya terpaksa menumpang teduh di Balai Raya Taman Permai, Seremban, sejak semalam, selepas tidak mampu menyewa rumah. FOTO MOHD AMIN JALIL
MUHAMMAD bersama isteri dan dua anaknya terpaksa menumpang teduh di Balai Raya Taman Permai, Seremban, sejak semalam, selepas tidak mampu menyewa rumah. FOTO MOHD AMIN JALIL

Muhammad berkata, dia terpaksa meminta pertolongan daripada Pengerusi Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah, di sini, Ahmad Zakuan Abdullah, yang kemudiannya membantu keluarganya menumpangkan sementara di balai raya berkenaan.

Menurutnya, dia buntu memikirkan masa depan diri dan keluarganya kerana tidak tahu lagi dengan siapa ingin meminta pertolongan.

"Saya berusaha mendapatkan pekerjaan sesuai bagi menyara keluarga, tetapi dengan keadaan diri seorang OKU, sukar untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan.

"Isteri ada cadangkan untuk menjual nasi lemak bagi mendapatkan pendapatan, tetapi kena usahakan dulu rumah sewa yang berharga rendah," katanya yang mendakwa sudah terputus wang belanja.

Mereka yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Public Bank atas nama Muhammad Abdullah 640406055649.

Sementara itu, Ahmad Zakuan berkata, keluarga terbabit menemuinya meminta pertolongan selepas mereka menyatakan terpaksa tidur di bawah jambatan di Taman Permai.

Beliau berkata, hasil bantuan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Permai, keluarga itu diberi kebenaran tinggal sementara di balai raya taman terbabit.

Katanya, dia turut memaklumkan masalah dihadapi keluarga itu kepada pihak Baitulmal Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:03 PM