GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG penginap sebuah hotel di Johor Jaya, dekat Pasir Gudang, ditemui meninggal dunia pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kira-kira 10 pagi, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima panggilan daripada pekerja hotel terbabit mengatakan lelaki yang menyewa bilik hotel berkenaan tidak dilihat sejak pagi semalam.

Katanya, pekerja itu mendakwa sudah mengetuk pintu bilik lelaki terbabit, tetapi tiada jawapan dan pintu juga didapati berkunci.

"Polis segera ke tempat kejadian dan bertindak memecah pintu untuk masuk ke bilik sebelum melihat seorang lelaki tempatan terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bantuan ambulans daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru tiba ke lokasi dan pegawai kesihatan bertugas mengesahkan lelaki berusia 54 tahun berkenaan sudah meninggal dunia, ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa mendaftar masuk di hotel berkenaan pada 12 Julai lalu dan membuat bayaran secara harian.

"Mayat sudah dihantar ke HSI, Johor Bahru untuk bedah siasat, selain kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 3:37 PM