TEKSI yang hilang kawalan dan melanggar mangsa.
TEKSI yang hilang kawalan dan melanggar mangsa.
MOTOSIKAL yang ditunggang Kamarul Fathullah Afiq.
MOTOSIKAL yang ditunggang Kamarul Fathullah Afiq.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut apabila dilanggar teksi yang dipandu lelaki positif dadah jenis methamphetamine dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang, di sini, pada jam 1.45 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, pembonceng Honda Wave dikenali sebagai Mohamad Alif Aiman Azhar, 15, maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal SYM, Kamarul Fathullah Afiq Kamarul Hisham, 19, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Dua rakan mereka, Muhammad Nur Hafizam Ahmad Raya, 17, dan Adam Hashim, 28, cedera ringan manakala seorang lagi rakan, Mohd Zulfitri Rahimin, 16, terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, pihaknya percaya kemalangan berlaku apabila pemandu teksi berusia 38 tahun dari arah pusat bandar menghala ke Pasir Gudang hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

“Teksi berkenaan kemudian melanggar tiga motosikal yang dipercayai berhenti di bahu jalan kerana membaiki motosikal mangsa berusia 15 tahun yang rosak.

“Akibat rempuhan itu, Mohamad Alif Aiman yang masih belajar dan berasal dari Taman Scientex, Pasir Gudang cedera parah di tengkuk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seorang lagi rakan mereka, Kamarul Fathullah Afiq dari Taman Cendana, Pasir Gudang cedera parah di dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSI,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pemandu teksi berkenaan sudah ditahan dan dibawa ke hospital untuk diambil sampel darah dan menjalani ujian saringan air kencing sebelum mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HSI, semalam, Adam yang dianggap sebagai abang kepada semua mangsa tidak dapat menahan kesedihan dan berkali-kali meminta maaf kepada keluarga mangsa.

Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Baru, Masai, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:16 AM