GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


BAYI meninggal dunia selepas ditimpa runtuhan dinding rumah yang dirempuh kereta di Jalan Mesra 2, Kampung Pasir Putih dekat Pasir Gudang, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa, Nurul Ain Farisha Md Zainuddin, tujuh bulan, parah di kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, kira-kira sejam selepas kejadian.

Beliau berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa sedang baring di ruang tamu rumahnya ketika ibunya pergi ke pintu rumah untuk menghantar suaminya bekerja.

"Ketika itu, ibu mangsa melihat kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan perlahan memasuki kawasan rumahnya dan secara tiba-tiba itu terus meluru masuk dan melanggar motosikal bapa mangsa serta dinding rumah itu.

"Pelanggaran itu menyebabkan serpihan batu dinding rumah terjatuh di atas badan mangsa yang sedang baring di ruang tamu.

"Mangsa dibawa ke HSI oleh bapanya dan disahkan meninggal dunia kira-kira 9.45 pagi ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan serius di bahagian kepala," katanya.

Menurut Dzulkhairi, pemandu MPV itu sudah membuat laporan polis dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan awal mempercayai pemandu kenderaan itu tertekan padel minyak sistem automatik itu sebelum menukar gear undur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 5:05 PM