Zaid Salim


PEKERJA ladang kelapa sawit ditemui mati dipercayai terkena panahan petir di Ladang Kelapa Sawit Tersat, Hulu Terengganu, semalam.

Ketika kejadian mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Maniadi, 40, dipercayai sedang melakukan kerja mengait kelapa sawit di Kampung Dusun Cheting pada 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, ketika kejadian, cuaca ribut petir dan mangsa dipercayai terkena panahan petir berikutan terdapat kesan terbakar di telapak tangan.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakan yang juga warga Indonesia dikenali sebagai Naswan, 32, dan Sudirman, 42, dikatakan ke ladang berkenaan untuk mengait buah kelapa sawit.

"Sebaik menghantar mangsa di lokasi berkenaan, dua rakan mangsa kemudian meninggalkan kawasan itu sebelum kembali semula ke lokasi berkenaan 20 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi, rakan mangsa terkejut apabila melihat mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia baring di atas tanah.

Katanya, rakan terbabit kemudian membawa balik mayat mangsa ke rumah kongsi yang terletak kira-kira dua setengah kilometer dari tempat kejadian menggunakan motosikal pada 3.30 petang.

"Tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan," katanya.

Mohd Adli berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan akibat daripada perbuatan jenayah.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

MAYAT mangsa dipercayai dipanah petir disanitasi sebelum dibawa keluar. FOTO ihsan Polis
MAYAT mangsa dipercayai dipanah petir disanitasi sebelum dibawa keluar. FOTO ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 10:59 AM