MAYAT Ng Yong Ching yang lemas dalam kejadian di laut berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang.
MAYAT Ng Yong Ching yang lemas dalam kejadian di laut berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang.
 MUHAMMAD Zulkarnain (kiri) dan Pengarah Operasi Pangkalan, Lt Maritim Mohd Khairul Anwar menunjukkan peta lokasi di mana mangsa dikhuatiri lemas.
MUHAMMAD Zulkarnain (kiri) dan Pengarah Operasi Pangkalan, Lt Maritim Mohd Khairul Anwar menunjukkan peta lokasi di mana mangsa dikhuatiri lemas.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: “Selepas kilat menyambar di sekitar kawasan Yong Ching berada, saya dapati dia tiada di atas bot,” kata Go Swee Heng, 37, rakan Ng Yong Ching, 21, nelayan maut dipanah petir di laut berhampiran Rumah Api Sungai Ayam, Senggarang, di sini, kelmarin.

Mangsa dikatakan terjatuh ketika menarik pukat di atas bot gentian kaca miliknya dalam kejadian jam 5 petang itu yang turut menyaksikan laut bergelora akibat ribut petir.

Menurut Swee Heng, ketika itu dia berada 100 meter dari lokasi mangsa.

“Sebelum kejadian, cuaca memang agak buruk dengan hujan lebat disusuli angin kencang dan ribut petir. Kami kemudian membuat keputusan untuk pulang dan ketika sedang menarik pukat, saya terdengar bunyi petir.

“Ketika itu juga, saya ternampak panahan kilat menyambar sekitar kawasan Yong Ching berada sebelum kelibatnya hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakannya itu sebelum bertindak menghubungi bapanya selain membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.30 petang selepas dihubungi bapa Yong Ching, Ng Ben Swee, 59.

“Sebaik menerima aduan, bot kilat 13 APMM bersama empat anggota bergegas ke lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat yang turut dibantu 12 bot nelayan tempatan, sebuah bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian ditemui kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian pada jam 4.50 petang, semalam, dengan kesan terbakar pada bahagian kaki dan kepala dipercayai akibat panahan petir.

“Bagaimanapun, bedah siasat perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Sungai Ayam sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:21 AM