ANTARA barang dirampas daripada suspek kes pecah tabung masjid sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO ihsan polis.
ANTARA barang dirampas daripada suspek kes pecah tabung masjid sekitar daerah Seberang Perai Utara. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


BERGERAK awal pagi secara solo dengan menunggang basikal. Itu taktik dilakukan seorang lelaki yang mencari pendapatan dengan memecah tabung masjid sekitar daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, perbuatan bapa empat anak itu terbongkar apabila dia ditahan orang ramai ketika sedang memecah tabung di Masjid Kota Aur, Kepala Batas, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 25 tahun itu pada mulanya dilihat penduduk kampung sedang menunggang basikal seorang diri jam 3.30 pagi.

Menurutnya, suspek yang tidak sedar gerak-gerinya dalam keadaan mencurigakan itu diperhatikan masuk ke dalam masjid dan memecah tabung.

“Lima penduduk kawasan itu mengekorinya dan mereka mendengar bunyi bising dalam masjid.

“Suspek ketika itu sedang memecah tabung menggunakan besi pengumpil tayar dan melihatkan perbuatannya itu, penduduk terus menahannya,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis dan hasil pemeriksaan lanjut pihaknya merampas 55 keping not RM1 yang dipercayai dicuri lelaki berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek aktif melakukan kes pecah tabung masjid sekitar Seberang Perai Utara sejak awal tahun ini.

“Hasil penahanannya, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes pecah tabung masjid dilakukan lelaki berkenaan dan dia kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis turut menahan seorang lagi suspek kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Kepala Batas, semalam.

Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bertam Perdana, jam 12.30 tengah hari.

“Hasil penahanan kedua-dua suspek, polis dapat menyelesaikan 17 kes pecah tabung masjid dan surau sekitar daerah ini manakala pelbagai barang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan dirampas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 5:49 PM