NOORZAINY (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barang rampasan kes pecah rumah daripada Geng Tabika. FOTO Ramdzan Masiam
NOORZAINY (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barang rampasan kes pecah rumah daripada Geng Tabika. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad

BERGERAK secara solo melakukan kegiatan pecah rumah dan tabika, kemudian bersubahat menjual kesemua barangan yang disamun kepada tiga pembeli demi memperoleh keuntungan mudah.

Itu yang dilakukan lelaki berusia 26 tahun namun ia tidak bertahan lama apabila polis membongkar kegiatannya dalam serbuan Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan suspek di kawasan Bakar Kapor, Penaga ketika mengadakan Op Cantas.

“Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 21, 33 dan 45 tahun yang didapati bersubahat membeli barangan samun daripada suspek.

“Hasil soal siasat mendapati keempat-empat mereka yang dikenali Geng Tabika mengaku melakukan kegiatan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.

Jelasnya, suspek pertama yang ditahan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

Noorzainy berkata, dalam serbuan itu polis merampas beberapa barangan samun antaranya komputer riba, televisyen, radio dan alat pemotong dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan tabika.

“Selain itu, kita turut menyita sebuah kereta yang mana jumlah keseluruhan barang rampasan bernilai RM5,000.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah bergerak aktif melakukan pecah rumah dan tabika dengan menyasarkan barangan elektrik selain mengambil wang atau tabung duit,” katanya.

Penahanan keempat-empat suspek terbabit berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan tabika di daerah ini.

Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis menahan buruh berusia 39 tahun di kawasan sawah padi di belakang Taman Selayang, Sungai Puyu disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Tangkapan dibuat 3.40 petang semalam dan polis merampas sejumlah dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM11,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 5:08 PM