NOORZAINY menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas antaranya sport rim dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kota Aur Penaga,Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
NOORZAINY menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas antaranya sport rim dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kota Aur Penaga,Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


TANGKAPAN terhadap dua lelaki dipercayai penagih dadah membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi dalam sebuah rumah di Jalan Kota Aur, Penaga, Kepala Batas, kelmarin.

Serbuan dilakukan pada 7 malam susulan laporan yang diterima daripada mangsa berhubung kegiatan pecah masuk inap desa, rumah burung walit dan curi tayar kenderaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati dua suspek berusia 23 dan 27 tahun itu dipercayai terbabit dalam tiga kegiatan jenayah.

"Pemeriksaan ke atas rumah didiami suspek menemui beberapa televisyen, kipas dinding, lima sport rim dan peralatan membuka tayar dipercayai barang curi.

"Hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah itu bersama seorang lagi rakan mereka dikenali sebagai Bucu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

Katanya, suspek memaklumkan mereka ingin menjual kesemua barangan curi itu, namun tidak sempat kerana banyak sekatan jalan raya (SJR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Justeru, mereka menyimpan dahulu barang curi berkenaan, tetapi perbuatan mereka terbongkar apabila dicekup polis.

"Mereka mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah dan barangan yang dicuri itu akan dijual untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Polis juga memburu rakan yang dikenali sebagai Bucur untuk membantu siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 6:40 PM