RAHMAH terpaksa menaiki tangga disebabkan lif rosak. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
RAHMAH terpaksa menaiki tangga disebabkan lif rosak. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Murnaena Muhammad Nasir


PENDUDUK Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur kesal dengan pihak berkenaan yang tidak mengambil tindakan segera terhadap masalah kerosakan lif kerap berlaku di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Penduduk mendakwa, satu-satunya satu-satunya lif yang berfungsi hanya berhenti di tingkat 14 dan tingkat bawah sejak enam hari lalu.

Rahmah Omar, 75, berkata lif itu kerap kali rosak dan bermacam ragam sejak dia menjadi penghuni di perumahan itu, hampir 30 tahun,

"Ketiadaan lif menyukarkan pergerakan penduduk terutama golongan warga emas, orang sakit serta kanak-kanak. Saya pernah hubungi talian pemaju bertanya mengenai masalah ini tetapi dilayan sangat buruk.

"Setiap minggu saya perlu ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Saya sudah uzur, tak larat naik tangga dan turun tangga dan ramai penduduk sebaya saya yang sudah tua," katanya yang tinggal di tingkat lapan.

Jirannya, Susila Renganathan, 62, yang juga suri rumah berkata, masalah lif rosak sudah lama berlaku dan kali ini paling teruk.

"Sejak 10 tahun lalu, lif kerap rosak sehinggakan ada kes jari tersepit. Saya sudah tua dan sakit lutut.

"Namun terpaksa keluar rumah untuk beli barangan dapur dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit selepas pulang," katanya.

Di samping itu, penghantar makanan, Muhamad Fazly Chek, 29, berkata, lif rosak menyukarkan dia dan kakaknya menghantar ayahnya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi ke klinik.

"Saya terpaksa berhenti kerja tetap dan bekerja sambilan untuk bergilir-gilir jaga ayah bersama kakak dan lif rosak ini menyukarkan kami sekeluarga.

"Pernah ada satu masa lif rosak dan saya bersama kakak ketika itu terpaksa pikul arwah mak bersama kerusi roda menuruni tangga untuk ke hospital," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain berkata, lif di kawasan perumahan itu dalam proses perbincangan tender untuk penggantian.

Beliau berkata, jika penduduk Flat Sri Sabah mengalami kecemasan, mereka boleh menghubungi pihaknya di talian bantuan kecemasan yang beroperasi 24 jam iaitu 03-92833112/03-92813112.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 5:07 PM