PENDUDUK Pangsapuri Taman Klang Jaya, Klang mengangkut air menggunakan tali ekoran gangguan bekalan air di Selangor sejak beberapa hari lalu. FOTO Faliq Lajim
PENDUDUK Pangsapuri Taman Klang Jaya, Klang mengangkut air menggunakan tali ekoran gangguan bekalan air di Selangor sejak beberapa hari lalu. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim

PENDUDUK di Selangor terutama yang tinggal di kawasan flat dan pangsapuri cukup terkesan berikutan krisis bekalan air ketika ini.

Apa tidaknya, penduduk di kawasan tidak mempunyai lif terpaksa naik dan turun tangga mengangkat baldi berisi air sehingga mengalami sakit pinggang serta pelbagai masalah lain.

Penduduk di Pangsapuri Taman Klang Jaya, Klang, Abdul Rhani Ghani, 50, berkata gangguan bekalan air memang akan memberi kesan kepada penduduk di pangsapuri yang tidak mempunyai lif.

"Tadah air pun belum tentu cukup. Saya tinggal di tingkat tiga dan tidak mempunyai lif. Bayangkan terpaksa turun naik angkat dengan baldi berkali-kali.

“Saya masih mampu, tapi bagaimana pula dengan mereka yang sudah tua. Kalau depan mata kita boleh membantu mana yang patut," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Beliau berkata, untuk memudahkan kerja, dia serta jiran lain terpaksa mengangkut air menggunakan tali dari atas bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Mana tidaknya... bayangkanlah kalau lori tangki air datang waktu bekerja. Tambahan lagi kepada suri rumah yang suaminya pergi kerja. Mana larat mereka nak angkut," katanya.

Suri rumah, Mazila Mat Nasir, 36, berkata beliau terpaksa melakukan catuan bagi mengurangkan penggunaan air di rumahnya.

"Makan pun nak kena alas dengan plastik makanan supaya ia tidak kotor. Saya memang kena memaksimumkan penggunaan air sebaik mungkin.

"Di rumah saya ada enam orang dan air sangat penting untuk suami serta empat anak yang bersekolah. Tambahan pula, anak saya perlu bawa air sendiri untuk kegunaan mereka di tandas sekolah.

"Saya sanggup tiada elektrik, jangan tiada air. Air adalah satu keperluan asas. Memang sakit bila tiada air tambah lagi penduduk rumah tinggi macam kami. Sakit pinggang," katanya.

Penduduk di pangsapuri itu mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99 Kesan).

Pengerusinya, Muhd Ali Zakaria berkata, pihaknya turun padang apabila pengadu minta bantuan ekoran ketiadaan air sejak Selasa lalu.

"Hari ini kami tolong selagi mampu terutama warga tua, orang kurang upaya (OKU) serta wanita yang tidak mampu nak mengangkat air untuk naik di rumah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 11:20 PM