GOLONGAN warga emas yang menggunakan tangga berikut lif rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman
GOLONGAN warga emas yang menggunakan tangga berikut lif rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman
Faliq Lajim


PENDUDUK pangsapuri Blok C Pelangi Damansara, Persiaran Surian, Petaling Jaya, terpaksa naik turun tangga hampir tiga minggu berikutan lif di perumahan mereka rosak.

Ketiadaan lif menyukarkan pergerakan penduduk terutamanya golongan warga emas, orang sakit serta anak-anak yang pulang ke sekolah.

Lebih memburukkan lagi adalah apabila segelintir penduduk di situ mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat rumah mereka tanpa mengambil kira keselamatan orang ramai.

PENDUDUK pangsapuri Pelangi Damansara, Persiaran Surian menunjukkan sampah yang dibuang dari atas berikutan lif di pangsapuri rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman
PENDUDUK pangsapuri Pelangi Damansara, Persiaran Surian menunjukkan sampah yang dibuang dari atas berikutan lif di pangsapuri rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman

Penduduk yang juga ibu tunggal, Juriah Idris, 61 berkata, masalah lif itu menyebabkan dia mengambil masa lebih satu jam untuk naik ke rumahnya di tingkat 17.

“Kalau 6 petang makcik naik, lepas 7 malam baru sampai. Makcik terpaksa rehat di setiap tingkat memandangkan faktor umur yang sudah berusia selain mengalami masalah sakit lutut.

“Nak tak nak makcik kena turun sebab nak pergi pasar untuk beli barang. Kalau tak, nak makan apa?” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Pengerusi Residen Blok C Pelangi Damansara, Ramli Abdurahman, 54 berkata, masalah lif rosak ini sebenarnya sudah lama, namun semakin teruk bermula pada tahun ini.

Menurutnya, penduduk perlu membayar RM55 setiap bulan bagi yuran penyelenggaraan.

“Sekiranya, ia membabitkan masalah yuran penyelenggaraan, pihak pengurusan perlu mengambil tindakan tegas bagi mereka yang tidak bayar. Tidak adil untuk mereka yang bayar setiap bulan.

“Flat ini ada 19 tingkat membabitkan tiga blok dan lif sentiasa saja rosak. Bayangkan keadaan mereka yang tinggal di tingkat paling atas nak naik ke rumah mereka setiap hari untuk pergi sekolah atau bekerja.

“Jemaah surau juga semakin berkurangan berikutan mereka yang sudah berusia tidak mampu lagi untuk turun dan naik tangga. Malah, ada penduduk yang buang sampah dari atas rumah sebab tak nak turun ke bawah,” katanya.

PENDUDUK pangsapuri Pelangi Damansara, Persiaran Surian menunjukkan lif rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman
PENDUDUK pangsapuri Pelangi Damansara, Persiaran Surian menunjukkan lif rosak. FOTO Ihsan Ramli Abdurahman

Sementara itu, pihak pengurusan berkata, terdapat dua lif di setiap bangunan di situ.

“Setiap satu lif di bangunan itu sedang digantikan dengan yang baharu dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini.

“Bagi lif yang lagi satu, pihak kami sedang menunggu sebut harga bagi membeli barangan yang rosak. Ia mungkin akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 1:53 PM