HANYA satu lif dapat digunakan di Blok C PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
HANYA satu lif dapat digunakan di Blok C PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Bukan sebulan dua, sebalik bertahun penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini, menanggung masalah lif kerap rosak.

Kediaman berusia tujuh tahun itu mempunyai tiga blok yang berketinggian 17 tingkat dan setiap blok dilengkapi tiga lif untuk kegunaan keseluruhan lebih 3,000 penghuni.

Malangnya, penduduk mendakwa untuk melihat setiap lif berfungsi dengan baik adalah sukar dan paling ketara bermasalah adalah Blok C apabila satu sahaja yang dapat digunakan.

Tinjauan wartawan ke PPR itu baru-baru ini turut mendapati sebahagian penghuni lebih selesa menaiki tangga untuk ke kediaman masing-masing berbanding menunggu lif.

Ruang hadapan pintu lif di tingkat bawah sesak pada waktu puncak dengan penduduk tingkat atas menunggu giliran untuk menggunakan kemudahan itu.

Penduduk, Muhammad Faris Wan Yas, 32, yang tinggal di tingkat 16 berkata, sudah tiga kali dia terperangkap dalam lif yang tiba-tiba berhenti hingga terpaksa mendapatkan bantuan pasukan penyelamat.

"Kos menggantikan lif baru memang tinggi, namun pihak pengurusan perlu memikirkan aspek keselamatan penghuni yang terpaksa bertarung nyawa apabila lif rosak mengejut.

"Setiap penghuni perlu bayar kos penyelenggaraan RM50 sebulan, namun lif sering rosak...masalah yang berulang-ulang.

"Saya harap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah ini," katanya yang sudah empat tahun menghuni kediaman itu.

Zuraini Johari, 44, masalah lif kerap rosak tidak akan selesai selagi pihak pengurusan PPR tidak menggantikannya dengan yang baharu.

Dia yang tinggal di PPR itu sejak enam tahun lalu berkata, warga emas paling teruk terjejas sekiranya berlaku kerosakan lif.

"Sekarang ini, hanya satu lif sahaja yang berfungsi dan dua lagi sudah ditutup sejak beberapa bulan lalu, malah pengoperasian ia tidak lancar kerana ada masa rosak.

"Memang bawa masalah terutama kepada warga emas dan mereka yang tinggal di tingkat atas.

"Disebabkan masalah kerap berlaku, saya sudah terbiasa dan pernah menaiki tangga sambil bawa barang untuk ke rumah di tingkat enam apabila ketiga-tiga lif rosak," katanya.

Roaani Sulong, 62, berkata, untuk melihat ketiga-tiga lif berfungsi dengan baik agak sukar dan dia sendiri tidak tahu punca utama yang menyebabkan lif mudah rosak.

Akuinya, keadaan lebih sulit apabila berlaku kematian atau penghuni sakit, yang memaksa mereka menggunakan tangga.

"Saya merayu tindakan segera diambil dan berbesar hati jika pihak berwajib dapat menggantikan lif lama kepada yang baru," katanya.

Seorang lagi penghuni, Nurul Sahira Alwi, 25, berkata, dia bersama adik dan ibunya pernah terperangkap dalam lif selama 10 minit ketika menaiki lif untuk ke tingkat lapan, bulan lalu.

Menurutnya, lebih menakutkan apabila kejadian berlaku jam 2.30 pagi, selepas mereka pulang dari rumah saudara.

"Nasib baik ada penghuni lain yang sedar kami terperangkap dan membantu keluar. Saya bimbang kejadian lebih buruk berlaku jika tiada tindakan segera diambil," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok./b>

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 7:15 AM