PENGHUNI tiada pilihan  kerana hanya satu lif boleh digunakan.
PENGHUNI tiada pilihan kerana hanya satu lif boleh digunakan.
MURID sekolah terpaksa menaiki tangga kerana lif sentiasa penuh dan lambat.
MURID sekolah terpaksa menaiki tangga kerana lif sentiasa penuh dan lambat.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: Leceh dan memenatkan. Itu rungutan penduduk di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam dekat sini, yang menempuh dugaan di bulan Ramadan apabila terpaksa memanjat tangga lebih daripada 10 tingkat berikutan masalah kerosakan lif.

Difahamkan, hanya satu daripada tiga lif disediakan yang boleh digunakan mereka sejak beberapa bulan lalu sedangkan jumlah penduduk dianggarkan lebih 500 orang itu memerlukan kemudahan itu berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, masalah lif di bangunan 17 tingkat itu masih kerap berlaku, malah keadaan semakin teruk apabila Jumaat lalu sekali lagi mengalami kerosakan hingga menimbulkan kesulitan terutama penduduk Islam yang mahu ke masjid dan surau menunaikan solat Tarawih selain golongan warga emas.

Kesengsaraan itu lebih dirasai mereka yang tinggal di tingkat tinggi kerana bukan saja terpaksa menggunakan tangga untuk turun naik, malah berdepan kesukaran jika berlaku kecemasan seperti kematian dan bekalan air terputus.

Penduduk, Munaliza Mustapha, 42, yang menetap di perumahan itu sejak enam tahun lalu berkata, masalah lif rosak berlaku sejak sekian lama dan masih berlarutan hingga kini.

“Blok D mempunyai tiga lif tetapi dua tidak berfungsi kerana mengalami kerosakan dan sedang dibaik pulih menyebabkan kami hanya bergantung sepenuhnya kepada satu lif yang ada tetapi ia turut rosak.

“Masalah itu berlaku sejak dua tahun lalu dan pernah lif rosak berlarutan lebih sebulan. Lif yang ada memang diperbaiki tetapi hanya bertahan seketika sebelum rosak semula hingga langsung tidak boleh digunakan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Tinjauan baru-baru ini mendapati semua lif itu tidak berfungsi menyebabkan murid sekolah rendah serta warga emas terpaksa menggunakan tangga untuk ke kediaman mereka.

Menurut ibu empat anak itu, dia pernah menanggung azab terpaksa turun naik tangga dari rumahnya di tingkat 12 dengan keadaan dirinya baru terbabit kemalangan jalan raya.

“Ketika itu, hanya Allah mengetahui keperitan dilalui, namun saya perlu menggagahkan diri kerana mahu melakukan urusan penting di luar walaupun mengetahui masalah lif sentiasa membelenggu penduduk di blok ini. 

“Masalah ini mungkin dianggap remeh segelintir pihak, namun siapa perlu dipersalahkan jika perkara buruk berlaku terutama ketika berlaku kes kecemasan,” katanya yang juga kakitangan swasta.

Bagi Noor Hashimah Kasah, 46, yang menetap di tingkat 13 blok sama, masalah yang berlaku memang menyusahkan penduduk terutama yang beragama Islam.

“Bayangkan perasaan penduduk terutama warga emas dan golongan berpenyakit yang terpaksa menggunakan tangga untuk membeli juadah berbuka dan solat Tarawih selain urusan lain sedangkan lif rosak.

“Sampai bila masalah ini perlu ditanggung penduduk dan ia seolah-olah tiada penyelesaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:23 AM