GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Norsyazwani Nasri


SEJUMLAH 7,423 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 3,147 kes, berbanding 10,570 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, penurunan kes disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyumbang berkurangnya jumlah pengguna di jalan raya.

"Sebanyak 145 kes kematian membabitkan kemalangan pelbagai kenderaan dalam tempoh yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu penunggang motosikal mencatat kematian tertinggi dengan 70 kes.

"Memandu laju dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas adalah faktor utama yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

"Sebanyak 52 kes dari Januari hingga Jun tahun ini berpunca daripada pemanduan laju dan kecuaian pemandu," katanya.

Beliau berkata, faktor lain yang menyebabkan kemalangan jalan raya ialah memotong jalan dan melanggar lampu isyarat (25 kes), kenderaan yang keluar dari simpang jalan (17 kes), melanggar lampu jalan atau pembahagi jalan sebanyak (14 kes) dan melanggar pejalan kaki (10 kes).

"Kegagalan mematuhi peraturan jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi juga nyawa orang lain.

"Jika pengguna jalan raya di Sarawak tidak mengubah sikap mereka di dalam cara memandu maka jumlah kemalangan yang mengakibatkan kematian pasti akan terus meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 4:06 PM