GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 39,235 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, di seluruh negeri ini sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidifitri bermula 29 April lalu hingga semalam.

Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 18,219 saman yang dikeluarkan berbanding 21,016 saman pada 2019.

Katanya, kesalahan paling tinggi dikesan ialah memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 26,520 saman, diikuti kesalahan memotong barisan di jalan raya iaitu sebanyak 1,884 saman.

"Ini menunjukkan kesedaran masyarakat tentang peraturan dan undang-undang khususnya di jalan raya masih lagi rendah.

"Kesesakan luar biasa juga tidak berlaku di laluan-laluan utama hasil usaha anggota JSPT dalam menyuraikan kesesakan trafik melalui penugasan Op Lancar bagi fasa sebelum dan selepas raya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kumarasan, kes kemalangan mencatatkan penurunan 186 kes iaitu sebanyak 2,302 kes kemalangan pada tahun ini berbanding dua tahun lalu iaitu 2,488 kes pada 2019.

Katanya jumlah kemalangan maut juga mencatatkan penurunan dua kes iaitu 20 kes pada tahun ini berbanding 22 kes pada 2019.

"Ia diikuti dengan penurunan jumlah kematian empat kes iaitu 20 kes berbanding 24 kes dalam tempoh sama.

"Bagi prestasi operasi dan tangkapan JSPT Johor, sebanyak 62 tangkapan telah berjaya dijalankan. Ia melibatkan 52 kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ), empat di bawah Kanun Keseksaan dan enam di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had yang dibenarkan mengikut Seksyan.45A (1) APJ 1987 adalah kesalahan yang paling tinggi menyumbang kepada tangkapan melalui operasi mabuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 4:12 PM