DR Noor Hisham. FOTO Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,178 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu dalam negara kepada 346,678 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes import dikesan, manakala 1,158 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 238 kes (20.2 peratus) dengan 183 kes (76.9 peratus) daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 237 kes (20.1 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 190 kes (16.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 31 kes (2.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (14 kes), Kluster DTI Jalan Duta (7 kes), Kluster Tembok Taiping (6 kes), Kluster DTI Sepang 2 (2 kes), Kluster Tembok Tapah (1 kes), dan Kluster Pagar Bukit Chagar (1 kes).

"Terdapat 163 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,377 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 331,001 kes atau 95.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Menurutnya, enam kes kematian baharu direkodkan hari ini masing-masing dua kes di Sarawak, serta satu kes di Johor, Kelantan dan Sabah.

"Enam kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,278 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:44 PM