ASYRAF Wajdi mencuba mesin pembuatan kopi di LOCCA Cafe di Dataran Pahlawan, Melaka. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
ASYRAF Wajdi mencuba mesin pembuatan kopi di LOCCA Cafe di Dataran Pahlawan, Melaka. FOTO MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: LOCCA Cafe jenama yang semakin dikenali sejak 2023 bukan lagi asing dan pastinya menjadi bualan orang ramai kebelakangan ini berikutan menyajikan pelbagai hidangan menggabungkan konsep masakan tempatan serta barat setanding citarasa antarabangsa.

Rangkaian restoran berkonsep mewah tetapi dengan produk yang terjamin sedap, berkualiti serta persekitaran menarik ini harus menjadi destinasi untuk dikunjungi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kafe berkenaan bukti komitmen pihaknya mewujudkan jaringan usahawan dalam bidang restoran di bawah satu jenama iaitu LOCCA Cafe menerusi Program Pembangunan Rangkaian Restoran Bumiputera dengan peruntukan RM5 juta.

Menurutnya, inisiatif itu membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk membangunkan dan mengendalikan restoran berkonsep yang menawarkan pelbagai hidangan premium pada harga berpatutan dengan persekitaran menarik dan kondusif.

"LOCCA Cafe adalah seperti francais, namun kita (MARA) tidak kenakan sebarang bayaran dan pengusaha adalah pemilik mutlak kafe dengan syarat tertentu iaitu mengikut standard dari segi jenama, menu yang berkonsepkan dapur berpusat dan disasarkan sebagai restoran berkonsepkan high-end," katanya pada Majlis Perasmian LOCCA Cafe, Dataran Pahlawan di sini, baru-baru ini.

Asyraf Wajdi berkata, setakat ini enam LOCCA Cafe sudah dibangunkan yang menawarkan 50 peluang pekerjaan dan pihaknya yakin berdasarkan trend semasa, lebih banyak outlet dapat dibuka di seluruh negara pada masa depan.

"MARA sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan jenama tempatan dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian bekalan daripada pembekal sehingga pelanggan," katanya lagi.

ENAM outlet LOCCA Cafe.
ENAM outlet LOCCA Cafe.

Beliau turut memaklumkan MARA memperuntukkan RM20 juta untuk Melaka bagi program latihan, senggaraan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh hampir 8,000 usahawan di Melaka.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, biarpun masih baharu setakat ini LOCCA Cafe mendapat sambutan dan menunjukkan prestasi baik dari segi jualan.

"Berdasarkan laporan diperoleh, purata pendapatan bulanan adalah RM70,000 hingga RM80,000, namun ada ketikanya jualan mencecah sehingga RM120,000 sebulan .

"Sebab itu kita yakin jenama LOCCA Cafe ini boleh kita kembangkan sebagai satu jenama terkemuka di negara ini, insya-Allah," katanya.

Selain LOCCA Dataran Pahlawan, lima outlet lagi ialah LOCCA Tamarind Square di Cyberjaya, LOCCA Queensville (Cheras), LOCCA Datum Mall (Keramat), LOCCA Eco Ardence (Shah Alam) dan LOCCA Temu (Elmina) manakala dua lagi akan dibuka di iSentul Point dan Metrocity Kuching, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:01 AM