CIRI MPV gaya futuristik.
CIRI MPV gaya futuristik.
Lizam Ridzuan


KESELESAAN yang ditawarkan buat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) adalah faktor utama ia menjadi pilihan terutama yang memiliki ahli keluarga yang ramai.

Meskipun popularitinya tidak seperti dahulu kerana ramai yang memilih kenderaan utiliti sukan (SUV) namun masih ada yang mahukan kenderaan sebegini bagi disesuaikan dengan keperluan.

Vroom berpeluang memandu uji Kia Carnival Baharu 2024 varian High Diesel 8-Seater High versi pemasangan tempatan (CKD) dengan beberapa pembaharuan diberi buat pilihan pembeli di negara ini.

Model generasi ke-4 ini mula dilancarkan ke dalam pasaran negara pada 2022 yang menampilkan ciri rekaan futuristik serta tampil berbeza dengan MPV lain yang terdapat dalam pasaran.

Masih kekal dengan ciri sama sebelum ini untuk versi CKD ini antara yang diperbaharui pada bahagian luaran ialah rim aloi 19 inci hitam yang menyerlahkan sisi agresif sebuah MPV keluarga.

Ciri lain seperti gril hadapan, lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) gaya moden serta skid plate hadapan mewujudkan gaya ranggi serta bahagian belakang elemen yang sama menjadikan ia tampil menarik.

Menjengah ke ruang kabin adalah 'nadi' utama dalam menjadikan Kia Carnival ini bakal menambah hati pemilik dan ahli keluarga yang menyediakan ruang yang sangat selesa dan luas.

Bumbung suria dwi bahagian, pintu gelongsor sisi, pintu belakang elektrik dan susun atur kerusi yang mudah untuk dilaras terutama untuk kemasukan ke baris ketiga menjadikan ia lebih praktikal.

Kerusi bukan sahaja empuk malah menyediakan suhu panas atau sejuk bagi disesuaikan dengan penumpang menjadikan perjalanan tambah premium serta keselesaan maksimum.

Paling menarik, ruang kabin juga disediakan ciri bunyi-bunyian alam sekitar yang boleh dipilih untuk menambah suasana perjalanan lebih menarik dan unik jika ingin lari daripada kebiasan dengan muzik dan radio.

TAMPIL menarik dengan padanan rim hitam.
TAMPIL menarik dengan padanan rim hitam.

Bukan sahaja penumpang, malah untuk pemandu juga disediakan dengan meter digital penuh serta sistem infotainmen yang keduanya bersaiz 12.3 inci resoulusi tinggi yang sangat mesra pengguna termasuk keterhubungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar.

Cukup dengan ruang yang selesa untuk pemanduan adalah kekuatan utama model ini yang dijana dengan enjin Smartstream 2.2 liter turbo, CRDi, DOHC, 4 silinder diesel yang dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan (E-Shift).

Penulis dapat rasakan tenaga yang dihemburkan sangat berkuasa dengan 199 kuasa kuda (hp) pada 3,800 rpm dan tork 440Nm pada 1,750 hingga 2,750rpm bukan sahaja lancar malah seakan tidak kehabisan.

Memandunya di lebuh raya adalah yang paling mengujakan dengan kelancaran dan kestabilan yang ditawarkan umapama bukan memandu sebuah MPV kerana perstasi enjin terbaik yang ditawarkan.

Malah untuk ciri pemanduan terdapat pilihan mod pemanduan bagi disesuaikan dengan gaya serta kepuasan pemanduan masing-masing dengan Eco, Normal dan Sport.

RUANG kabin premium.
RUANG kabin premium.

Secara keseluruhannya ruang penulisan ini sememangya tidak cukup menggambarkan akan kelebihan yang ditawarkan untuk model ini kecuali dapat merasai berada di dalamnya.

Ia bukan sahaja selesa malah dengan pengendalian terbaik dengan suspensi hadapan MacPhesron Struts dan belakang Multi-link bagi keselesaan pemandu dan penumpang.

Ditambah dengan sistem bunyi premium Bose dan 12 pembesar suara, 7 port pengecas USB dan Paparan Pemandangan Sekitar (SVM) melengkapi untuk perjalanan yang indah seisi keluarga.

Menerusi kapasiti bahan api diesel 72 liter ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 700 kilometer (km) juga satu kenikmatan menggunakan model MPV korea ini.

Ciri keselamatan terbaik juga dilengkapi seperti 7 beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Brek Pelbagai-Perlanggaran (MCB), Isofix dan Kawalan Bantuan Mula-Bukit (HAC).

ELEMEN praktikal dan fleksibel untuk lebih ruang.
ELEMEN praktikal dan fleksibel untuk lebih ruang.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Biru Astra (unit pandu uji), Hitam Jet, Putih Mutiara Snowflake dan Kelabu Meteor.

Untuk pasaran Malaysia Kia Carnival Baharu 2024 ditawarkan menerusi tiga varian iaitu 2.2 L Turbo Diesel 11-Seater pada harga RM198,500, 2.2 L Turbo Diesel 8-Seater High seperti unit pandu uji ini RM245,888 dan 2.2 L Turbo Diesel 7-Seater High pada harga RM259,888.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:30 AM