GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,384 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 335,540 kes dengan jumlah kes aktif 14,454 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sembilan kes import dilaporkan manakala 1,375 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 625 kes diikuti Johor (161 kes) dan Sarawak (140 kes).

"Sebanyak 37 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (29 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (lima kes), Kluster DTI Sepang 2 (satu kes), Kluster Jalan Awang (satu kes) dan Kluster Telok Mas (satu kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 148 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 1,058 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya ialah 319,842 kes atau 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat enam kes kematian dilaporkan hari ini dengan masing-masing dua kes di Sarawak dan Selangor dan masing-masing satu kes di Kelantan serta Johor berusia antara 56 hingga 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,244 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:22 PM