Muhammad Saufi Hassan


Jenayah penipuan atas talian sudah menjadi umpama 'barah' dalam masyarakat hari ini apabila saban hari ada saja laporan berhubung kes berkenaan.

Paling menyedihkan apabila kebanyakan taktik penipuan terbabit sudah didedahkan pihak berkuasa namun masih ramai yang terjebak dengan penipuan atas talian ini.

Kafe Ahad minggu ini membincangkan isu berkenaan dengan mendapatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF yang berkongsi dapatan bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.


Apakah masyarakat umum tidak peka atau mudah tertipu sehingga menjadi mangsa penipuan?

Wujud beberapa faktor jika kita melihat kepada isu ini. Penggunaan media sosial secara meluas sekali gus menjadi laluan kepada pelaku jenayah untuk mengambil kesempatan.

Penggunaan media sosial adalah lebih bersifat 'peribadi' (private and personal) di mana seseorang pengguna boleh membuat keputusan segera (immediate) tanpa merujuk kepada sesiapa.

Umpamanya dalam pelaburan tidak wujud, seseorang pengguna terima iklan pelaburan, klik dan kemudiannya terjerumus secara 'peribadi' dengan pelaku dan berlarutan beberapa hari, bulan atau tahun sehinggalah dia sedar ditipu.

Jadi, sifat media sosial berbentuk peribadi dan personal adalah penyumbang utama.


Apakah sikap tidak ambil peduli dan lebih mudah didorong dengan penawaran tidak masuk akal menjadi 'resipi penarik' sindiket?

Tidak dapat dinafikan bahawa itu antara resipi rangkaian sindiket ini apabila menawarkan bentuk pelaburan dengan pulangan tidak masuk akal.

Sifat tidak ambil peduli atau ignorance ini sememangnya menjadi faktor utama.

Ini terbukti kerana sebanyak mana sekalipun kempen pencegahan, masih ada yang menjadi mangsa.

Lebih malang, mereka tahu kes dilapor atau diberitahu orang sekeliling mereka namun masih jadi mangsa.

Ini adalah keadaan psikologi mereka yang rapuh dan mudah ditakutkan.

Ia terjadi kerana kurangnya pengetahuan mereka mengenai undang-undang dan hak mereka, lantaran, mereka mudah menjadi mangsa dan alasan biasa dipakai adalah
'kena pukau.'

Menyentuh di awal tadi tentang pulangan pelaburan tidak masuk akal, ia berpunca daripada sikap tamak.

Selalunya, ia diikuti oleh sikap ignorance di atas.

Umpamanya, keterujaan melabur dengan keuntungan besar dalam masa yang sangat singkat dengan hanya beberapa jam saja, melabur dalam wang krypto yang mereka sendiri tidak ada ilmu mengenainya.


Apakah langkah paling ideal boleh dilakukan oleh masyarakat umum?

Kaedah terbaik untuk segenap keadaan adalah jangan dilayan panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali dalam apa keadaan sekalipun.

Sekiranya panggilan adalah benar, maka pemanggil akan tetap berusaha hubungi kita.

Jika daripada scammer dan kita tidak melayaninya, mereka akan berubah kepada bakal mangsa yang lain.

Begitu juga dengan segala iklan yang timbul (pop-up) di laman sosial Facebook (FB) dan sebagainya.

Jangan respons langsung kerana scammers ada 'formula' pujuk mangsa melibatkan diri ke skim penipuan, jadi jangan sesekali klik kepada sebarang tawaran.


Boleh Datuk Seri kongsikan jumlah kerugian untuk penipuan atas talian ini?

Untuk rekod, bagi bulan Januari saja sudah merekodkan RM176.01 juta kerugian membabitkan bermacam jenayah penipuan atas talian.

Berdasarkan statistik tahun lalu, kategori umur 21 hingga 30 tahun merekodkan kes paling tinggi terjebak dengan perangkap scammer iaitu 10,360 kes yang dilaporkan.

Bagi warga emas pula, rekod menunjukkan golongan ini turut terjebak dengan sindiket penipuan dalam talian dengan kes lebih 2,000 kes penipuan.


Jika dibandingkan dengan semua bentuk jenayah penipuan atas talian, penipuan mana yang merekodkan kes paling tinggi?

Skim pelaburan tidak wujud menjadi 'resipi' paling ampuh rangkaian sindiket penipuan ini apabila merekodkan jumlah kerugian paling tinggi untuk tahun lalu serta Januari lalu.

Kes membabitkan pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah paling tinggi iaitu lebih RM472 juta membabitkan 5,386 kes yang dilaporkan.

Jenayah telekomunikasi merekodkan kedua tertinggi iaitu lebih RM353 juta dengan 10,348 kes yang dilaporkan kepada polis.

Selain daripada itu, jenayah e-Dagang mencatatkan kerugian lebih RM204 juta, jenayah e-Kewangan (RM105 juta), 'Love Scam' (RM43 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM40 juta).

Antara faktor yang menjadi punca adalah sifat tamak seperti keterujaan untuk melabur dengan memperoleh keuntungan yang besar dalam masa singkat.

Kalau kita lihat berdasarkan statistik semasa ini, Selangor merekodkan kes penipuan dalam talian tertinggi berbanding negeri lain dengan 6,223 kes pada tahun lalu dan 571 kes untuk Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:30 AM