Muhamaad Razis Ismail


PENYAKIT osteoarthritis adalah sejenis sakit sendi yang disebabkan kerosakan tulang rawan sendi kerana faktor penuaan sehingga menjejaskan rutin harian seseorang.

Tulang rawan sendi ini berfungsi menyerap daya hentakan dan melincirkan pergerakan di antara dua permukaan sendi seperti di hujung jari, lutut, pinggul serta belakang tengkuk.

Pembedahan pertukaran sendi atau lebih dikenali sebagai artroplasti adalah pilihan rawatan terbaik untuk pesakit osteoarthritis kembali kepada rutin harian asal.

Jika dahulu, pembedahan dilakukan secara konvensional dan perlu menjalani proses pemulihan yang agak lama di wad.

Namun kini seiring dengan perkembangan teknologi, penggunaan teknologi robotik membabitkan pembedahan artroplasti mula digunakan di beberapa hospital di negara ini.

Bukan itu sahaja, kini pesakit yang menjalani pembedahan artroplasti sama ada secara konvensional atau robotik, dibenarkan balik pada hari yang sama untuk menjalani pemulihan di rumah.

Pakar Perunding Kanan Artroplasti, Jabatan Surgeri Ortopedik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Azlina Amir Abbas berkata, pihaknya mula memperkenalkan perkhidmatan pembedahan arthroplasti harian secara konvensional sejak Mac dan secara robotik sejak Ogos tahun lalu.

"PPUM adalah hospital kerajaan pertama di negara ini yang memperkenalkan perkhidmatan pembedahan artroplasti harian yang memerlukan pesakit berada di hospital ketika waktu bekerja.

"Melalui perkhidmatan terbaharu ini, pesakit bukan sahaja dapat menjimatkan masa malah dapat membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital.

"Sejak diperkenalkan pada tahun lalu, seramai 15 pesakit sudah menjalani pembedahan harian yang dijalankan seminggu untuk seorang pesakit sahaja.

PPUM menjadi hospital kerajaan pertama yang menawarkan pembedahan arthroplasti harian yang memerlukan pesakit berada di hospital semasa waktu bekerja.
PPUM menjadi hospital kerajaan pertama yang menawarkan pembedahan arthroplasti harian yang memerlukan pesakit berada di hospital semasa waktu bekerja.

"Kemudahan teknologi robotik dapat membantu pakar bedah melakukan pembedahan penggantian sendi dengan lebih jitu dan sekali gus dapat membantu mengurangkan kesakitan yang dialami pesakit, selain proses penyembuhan lebih cepat berbanding pembedahan konvensional.

"Sehingga kini, kami mendapat maklum balas positif daripada pesakit dan kami tidak menolak kemungkinan dengan peningkatan permintaan, peningkatan pengalaman dan penambahan fasiliti, kekerapan pembedahan harian boleh ditambah dari semasa ke semasa," katanya.

Berkongsi perkara sama, Pakar Perunding Artroplasti Jabatan Surgeri Ortopedik PPUM, Dr Veenesh Selvaratnam berkata, melalui pembedahan harian, pesakit tidak perlu masuk wad dan dibenarkan pulang selepas beberapa jam menjalani pembedahan dan pemulihan di bilik bedah.

"Pesakit akan masuk ke bilik bedah sekitar jam 8.30 pagi untuk menjalani pembedahan selama sejam setengah. Sebelum pembedahan, pesakit akan diberi bius separuh badan supaya pesakit tidak merasa sakit ketika pembedahan dijalankan.

"Selepas itu, pesakit akan menjalani pemulihan selama empat hingga enam jam. Kemudian, fisioterapi akan membuat pemeriksaan dan pesakit yang sudah stabil akan dibenarkan pulang pada jam 5 petang dengan menggunakan 'walking frame' tanpa perlu dimasukkan ke dalam wad berbanding sebelum ini.

"Pesakit akan diberikan tiga hingga empat ubat tahan sakit seperti pesakit yang ditempatkan di wad," katanya.

Sementara itu, Pakar Klinikal Surgeri Ortopedik PPUM, Dr Khairul Anwar Ayob berkata, pesakit osteoarthritis yang ingin menjalani pembedahan harian perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

PEMBEDAHAN arthroplasti harian mendapat maklum balas ramai.
PEMBEDAHAN arthroplasti harian mendapat maklum balas ramai.

"Dari segi kesihatan, pesakit akan ditapis dan mereka yang mempunyai masalah jantung dan buah pinggang atau kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal mungkin tidak sesuai untuk pembedahan secara harian.

"Pesakit juga perlu mempunyai semangat dan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi. Pada masa sama, sokongan keluarga dan jarak kediaman ke hospital turut diambil kira," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Klinikal Surgeri Ortopedik PPUM, Dr Loh Kwong Weng berkata, selain menjalani pemulihan di kediaman, pesakit masih perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital.

"Biasanya pembedahan harian dijalankan pada Rabu dan pesakit perlu datang semula untuk menjalani pemeriksaan luka pembedahan di klinik. Kebiasaannya pemeriksaan berkala ini akan dilakukan agak kerap pada bulan pertama untuk memastikan pesakit berada dalam keadaan baik.

"Pesakit turut ditekankan supaya kekal aktif bergerak dan bersenam untuk meningkatkan mobiliti selepas pembedahan.

"Proses penyembuhan dan pemulihan seseorang pesakit secara optimum amat bergantung kepada usaha dan kerjasama semua pihak membabitkan pesakit sendiri, sokongan keluarga dan pasukan perawatan kesihatan termasuk doktor, jururawat dan ahli terapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:00 AM