GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 merekodkan 4,284 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 226,912 kes dengan 18 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, enam kes import dilaporkan manakala 4,278 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,572 kes diikuti Johor (964 kes) dan Kuala Lumpur (651 kes).

"Sebanyak 122 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Menpaga (54 kes), Kluster Pengkalan Chepa (41 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (14 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (lima kes), Kluster Penjara Seberang Perai (empat kes), Kluster Penjara Seberang Perai (empat kes), Kluster Tembok Taiping (dua kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (satu kes) dan Kluster DTI Sepang 2 (satu kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 307 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 141 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 3,804 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 177,794 kes atau 78.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 18 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan lima kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, dua kes di Perak serta masing-masing satu kes di Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Johor serta Sabah.

"Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 809 kes atau 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:20 PM