ANGGOTA JSPT membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi sepanjang Op Selamat 18. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA JSPT membuat sekatan jalan raya di beberapa lokasi sepanjang Op Selamat 18. FOTO ihsan Polis
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 166 kematian dengan 150 kemalangan maut direkodkan dalam Op Selamat 18, bermula 29 April lalu hingga semalam.

Ia peningkatan seramai enam orang berbanding Op Selamat 15 yang dilaksanakan ketika sambutan Aidilfitri pada 2019.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, 15,947 kemalangan direkodkan dalam Op Selamat 18 ini.

"Jumlah kemalangan ini meningkat sebanyak satu peratus iaitu mencatat peningkatan 111 kes kemalangan berbanding 15,836 yang direkodkan dalam Op Selamat 15.

"Secara keseluruhan, selepas dua tahun rakyat di negara ini tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan pandemik Covid-19 dan tahun ini orang ramai mengambil kesempatan merayakan Aidilfitri dengan jumlah kenderaan dianggarkan lebih lima juta," katanya.

Beliau berkata, pun begitu, pihaknya terutamanya JSPT dengan bantuan agensi kerajaan lain mampu mengawal situasi di jalan raya daripada menjadi lebih buruk atau jumlah kemalangan lebih tinggi.

Katanya, usaha dan kaedah yang dilakukan ialah mendidik dan menasihatkan pengguna jalan raya serta mengambil tindakan segera terhadap mereka yang dikesan melakukan kesalahan.

"Dalam Op Selamat 18 ini sebanyak 338,296 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya berbanding 223,449 saman pada Op Selamat 15, sekaligus meningkat sebanyak 114,847 saman," katanya.

Beliau berkata, dalam Op Selamat 18 ini juga 252,375 kes khas enam kesalahan lalulintas utama dikesan dilakukan pengguna jalan raya.

Enam kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju dibenarkan dengan 240,421 kes, memandu di lorong kecemasan (804 kes), memotong garisan berkembar (1,202), memotong barisan (3,582), melanggar lampu isyarat (4,375) dan menggunakan alat telekomunikasi (1,991).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 4:15 PM