KEADAAN rekahan di dinding Bangunan Stadhuys. FOTO AMIR MAMAT
KEADAAN rekahan di dinding Bangunan Stadhuys. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


PENIAGA kraftangan di Bangunan Stadhuys, Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka berada dalam keadaan buntu dan tertekan selepas diarahkan mengosongkan premis perniagaan mereka dalam tempoh sebulan.

Arahan menerusi notis yang dikeluarkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada bulan lalu itu, susulan sedikit kerosakan dan rekahan di bahagian dinding bangunan berkenaan yang kini dalam perhatian pihak Jabatan Warisan Negara untuk diambil tindakan.

Keadaan itu menyebabkan 12 peniaga kraftangan berkenaan tertekan terutama selepas kira-kira tiga bulan tidak dapat menjalankan perniagaan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak Mac lalu.

Pemangku Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Melayu Cawangan Melaka Bandar, Mohamad Rujahan Sidik, berkata tiada sebarang rundingan atau perbincangan dibuat oleh PERZIM dengan peniaga sehingga menyebabkan mereka keliru dengan tiga notis yang dikeluarkan perbadanan itu serta Jabatan Warisan Negara.

Katanya, jika alasan untuk membaiki kerosakan dan rekahan di dinding bangunan berkenaan menjadi punca peniaga perlu berpindah, ia sesuatu yang tidak relevan.

"Kami sudah mengadu mengenai kerosakan itu kepada PERZIM lebih enam bulan lalu, tapi tiada tindakan diambil, sebaliknya mereka meminta kami mengosongkan premis untuk membolehkan siasatan di bahagian lain dibuat.

"Kami sudah tiga bulan tidak boleh berniaga (berikutan PKP), sekarang mereka arahkan pula supaya mengosongkan bangunan. Bagaimana kami nak cari makan jika tak boleh berniaga di sini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap PERZIM mempertimbangkan supaya mereka kekal berniaga di situ atau berpindah sementara di lokasi sesuai sebelum dibenarkan masuk semula ke premis di Bangunan Stadhyus terbabit.

Sementara itu, seorang peniaga, Siti Aloya Abdullah, mendakwa arahan terbaharu itu membebankan kerana pendapatan mereka akan terjejas kerana tidak boleh meneruskan perniagaan.

"Saya tidak berpuas hati kerana sebelum ini tiga bulan PKP menyebabkan kami tidak boleh berniaga, kini ditambah lagi dengan arahan supaya kita kosongkan premis perniagaan kami.

"Bagaimana kita mahu teruskan kehidupan sedangkan punca rezeki kami adalah berniaga di sini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Rozah Lee berkata, beliau sedih kerana diperlakukan seperti itu yang sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga kecil sepertinya.

"Kebanyakan peniaga sudah menjalankan perniagaan di situ hampir 30 tahun sudah pasti dibebani dengan pelbagai masalah, termasuk kewangan bagi menampung keluarga.

"Semua kami di sini bukan orang senang, apatah lagi sumber pendapatan kami adalah berniaga. Banyak wang mahu digunakan setiap bulan termasuk untuk persekolahan anak. Jika kami tidak dibenarkan berniaga, bagaimana kami mahu meneruskan kehidupan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 12:12 PM