RAIS (kiri) mendengar keluhan  peniaga di Jalan Utama, Taman Cheng Perdana. FOTO Nuraliawati Sabri
RAIS (kiri) mendengar keluhan peniaga di Jalan Utama, Taman Cheng Perdana. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Saya buntu dan tidak tahu hendak mengadu kepada siapa bila diminta merobohkan gerai, inilah tempat saya mencari rezeki buat keluarga," kata peniaga nasi lemak, Ramlah Salleh, 63.

Wanita itu antara sekumpulan peniaga di Jalan Utama, Taman Cheng Perdana, di sini, yang 'hilang arah' selepas menerima notis daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang didakwa perlu merobohkan gerai mereka.

Notis dikeluarkan bulan lalu, memaklumkan peniaga diberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian.

Ramlah berkata, kawasan itu sudah lama menjadi lokasi peniaga kecil mencari rezeki, malah dia sendiri sudah berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

"Di sini, lokasinya strategik dan kami juga sudah mempunyai pelanggan tetap dan jika dirobohkan (gerai) di mana saya dan yang lain hendak berniaga," katanya.

Seorang lagi peniaga, Noresma Manap, 47, berkata peniaga di situ baru mula berniaga dan mencari pendapatan selepas terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malangnya diminta merobohkan gerai.

"Baru hendak bernafas, ini pula terjadi. Sebelum ini Ketua Menteri membenarkan rakyat berniaga, tetapi lain pula jadinya.

"Cuma yang saya harapkan kepada pihak berkuasa supaya kami semua di sini dibenarkan terus berniaga, lokasinya strategik kerana kenderaan pelanggan tidak menghalang lalu lintas," katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin mengambil perhatian perkara itu dan memberi jaminan akan membantu nasib peniaga di situ.

"Saya rasa kasihan dan simpati, masalah ini bukan hanya berlaku di sini tetapi tempat lain juga.

"Saya minta janganlah minta mereka berpindah kerana semuanya sudah lama berniaga di sini. Pihak yang terbabit sepatutnya membuat penyelarasan dengan membina struktur gerai," katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, jika diberi mandat dan kepercayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau merancang mewujudkan Uptown Paya Rumput bagi memberi peluang kepada penduduk setempat termasuk anak muda berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:28 PM