MOHD Shafiq (kiri) dan Mohd Shaqif melihat pesanan suara dan gambar arwah bapanya, Mohd Shahril yang maut dalam kemalangan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Shafiq (kiri) dan Mohd Shaqif melihat pesanan suara dan gambar arwah bapanya, Mohd Shahril yang maut dalam kemalangan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

"SAYA rasa begitu sedih kerana hasrat ayah ingin berjumpa dan membeli durian untuk kami tidak kesampaian," kata Mohd Shafiq Dzaire Mohd Shahril, 13.

Mohd Shafiq, anak sulung kepada Mohd Shahril Abdul Hamid, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, Marang, semalam.

Katanya, kali terakhir dia berbalas pesanan suara dengan arwah bapanya pada 4 petang iaitu kira-kira 10 minit sebelum kejadian.

"Ayah ada memberitahu melalui pesanan suara ingin membeli durian untuk saya, dan akan menghantar durian ke rumah kami di Paka pada petang semalam.

"Memandangkan ayah sudah berpisah dengan ibu, Nor Shafida Kamaruddin, 30, saya hanya berjumpa arwah ayah pada musim cuti sekolah sahaja.

"Kali terakhir saya jumpa dan tinggal dengan arwah ayah selama seminggu selepas sambutan Aidilfitri lalu," katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Tok Fakir, Marang, hari ini.

Katanya, dia dan adiknya Mohd Shaqif Danish, 11, akan menjadikan perbualan terakhir melalui pesanan suara itu sebagai kenangan hingga ke akhir hayat.

"Jika rindu pada ayah, saya dan adik akan mendengar khidmat pesanan suara itu.

"Semalam saya sudah bermimpikan arwah ayah, mungkin kerana terlalu sedih dan kian merasai kehilangannya.

"Selepas ini saya dan adik pasti akan merindui arwah ayah yang selalu manjakan kami," katanya.

Menurutnya, dia dan adik akan sentiasa mendoakan arwah bapa mereka dan reda dengan pemergiannya.

"Pada mulanya saya tidak percaya apabila diberitahu arwah ayah maut dalan kemalangan kerana baru sahaja berhubung dengannya, tetapi kini menerimanya dengan reda," katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrizal, 34, berkata dia sedia maklum mengenai hasrat arwah abangnya mahu menjamu durian untuk anak-anaknya.

"Saya sudah dimaklumkan rancangan arwah untuk membeli durian dan menghantar kepada anak-anaknya di Paka.

"Arwah memang berkelakuan pelik dan kurang bercakap sejak akhir-akhir ini, malah dia tidak banyak bercakap ketika saya menghubunginya sebelum kejadian," katanya.

Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan dua maut manakala tiga lagi parah selepas dua kenderaan bertembung dalam kemalangan itu.

Kejadian berlaku kira-kira 4.10 petang menyebabkan Mohd Shahril dan rakannya, Wan Mohd Zawawi Wan Mohamad, 40, maut di tempat kejadian.

Berita berkaitan

2 maut, 3 parah kereta bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 5:23 PM